Raptai Penuh Sarawakku Sayang Sri Aman 2026 Berjalan Lancar
SRI AMAN: Persiapan akhir Program Sarawakku Sayang (SKS) Sri Aman 2026 berjalan lancar menerusi raptai penuh yang diadakan di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini, pada Jumaat.
Raptai yang bermula pada jam 4.20 petang itu turut disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee bersama Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh bagi memastikan kelancaran atur cara, logistik serta aspek teknikal menjelang perasmian program pada Sabtu.
Raptai dimulakan dengan persembahan lagu tema Sarawakku Sayang, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Sarawak Ibu Pertiwiku.
Ia kemudian diteruskan dengan simulasi ucapan dif kehormat serta penyampaian sumbangan Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan tawaran pembelajaran Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
Sepanjang raptai berlangsung, penyelarasan antara agensi terlibat berjalan teratur, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan penganjur bagi memastikan kelancaran majlis perasmian.
Raptai yang berakhir sekitar jam 5 petang itu turut menyaksikan Datu Hii menzahirkan rasa puas hati terhadap persiapan yang dilaksanakan selain memberikan beberapa pesanan kepada penerima bantuan.
Program SKS Sri Aman 2026 dijadual dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada pagi Sabtu.
Penganjuran program itu menjadi platform mendekatkan rakyat dengan pelbagai inisiatif serta bantuan yang disediakan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS