Yusri Bawa Pulang Loket Emas E-Peraduan SKS Sri Aman 2026
SRI AMAN: Penduduk Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Taman Sentosa Indah, di sini, Yusri Mohamad Jobri muncul pemenang hadiah utama e-peraduan sempena hari pertama Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman berupa seutas loket emas.
Beliau diumumkan sebagai pemenang selepas namanya terpilih dalam sesi cabutan bertuah yang berlangsung di Sarawak Pavilion, Kompleks Sukan Sri Aman, pada Jumaat.
Hadiah berkenaan disampaikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dalam majlis ringkas di lokasi program.
Menurut Yusri, kemenangan tersebut merupakan kejutan yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
“Saya amat bersyukur dan langsung tidak menyangka rezeki menyebelahi saya hari ini. Hadiah loket emas ini adalah satu kejutan besar buat saya dan keluarga.
“Terima kasih kepada pihak penganjur atas inisiatif program rakyat seperti ini yang bukan sahaja memudahkan urusan kami dengan kaunter agensi malah memberi keceriaan dengan pelbagai hadiah menarik,” katanya.-EDISI UKAS