Premier Sarawak Sumbang RM50,000 Bantu Kebajikan Anak-Anak PERYATIM
KUCHING: Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) menerima suntikan dana berjumlah RM50,000 sumbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi membantu memperkukuh kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yatim di negeri ini.
Menurut Premier Sarawak, usaha membantu anak-anak yatim memerlukan komitmen bersama kerana mereka bukan sahaja memerlukan bantuan material, malah perhatian, bimbingan dan sokongan emosi dalam membina kehidupan serta masa depan yang lebih baik.
“Bagi saya, nilai sebenar program seperti ini bukan sekadar pada kemeriahan sahaja, tetapi pada manfaat dan kesan yang dapat kita tinggalkan dalam kehidupan anak-anak yang disayangi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Jamuan Amal Makan Malam Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM), di sini pada Jumaat.
Selain sumbangan berkenaan, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda keterangkuman sosial menerusi peruntukan RM46 juta pada 2027 bagi membantu pertubuhan kebajikan, pertubuhan berkaitan kanak-kanak serta golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan sokongan.
“Contoh lain, kita juga membantu mereka di PERYATIM untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi melalui insentif yang telah kita beri, termasuklah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) dan yang keduanya ialah wang saku bagi mereka menghadapi hidup seharian,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu, kejayaan bekas penghuni institusi berkenaan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk sehingga peringkat kedoktoran, serta menceburi bidang profesional dan sektor kejuruteraan membuktikan keberkesanan usaha membimbing mereka membina masa depan.
Menurut beliau, pencapaian itu wajar menjadi dorongan kepada semua pihak untuk terus memperkukuh sokongan terhadap pendidikan dan pembangunan potensi anak-anak yatim agar mereka mampu menjadi tenaga kerja berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak, termasuk dalam sektor industri berteknologi tinggi. -EDISI UKAS