SRI AMAN: Perlawanan MAKSAK Pickleball Social Game sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman berlangsung meriah di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Aktiviti tersebut menghimpunkan penjawat awam Bahagian Sri Aman dalam suasana santai dan penuh semangat kesukanan, sekali gus menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat setiakawan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Turut menyertai aktiviti berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, yang berkesempatan beraksi bersama penjawat awam Sri Aman.
Penglibatan beliau turut menceriakan suasana apabila para peserta berpeluang berinteraksi dan bersukan bersama dalam suasana santai di luar urusan rasmi.
MAKSAK Pickleball Social Game merupakan antara aktiviti pengisian Program SKS Bahagian Sri Aman yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November.
Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang program berkenaan melibatkan komuniti dan penjawat awam sebagai usaha memperkukuh hubungan serta mendekatkan perkhidmatan awam dengan masyarakat setempat.
Hadir sama, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang, serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.-EDISI UKAS