BINTANGOR: Bintangor Powerboat Race 2026 Edisi Ke-11 menarik penyertaan sebanyak 237 bot dalam lapan kategori perlumbaan, sekali gus memperkukuh kedudukan acara itu sebagai antara tarikan sukan air di Sarawak.
Penyertaan tersebut melibatkan joki dari Sarawak, Johor, Brunei Darussalam dan Singapura, dengan pertandingan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Bintangor Powerboat Race bukan sahaja menjadi medan pertandingan sukan air, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkenalkan keunikan Sungai Rajang dan Daerah Meradong kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Penganjuran acara itu juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat melalui aktiviti berkaitan penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan kecil, selain memberi peluang kepada peniaga tempatan mempromosikan produk mereka.
Sementara itu, acara yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 6 September lalu terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan jerebu bagi memastikan keselamatan semua pihak sebelum dijadualkan semula pada 30 Oktober hingga 1 November ini.
Penganjuran edisi ke-11 itu diharap dapat terus diperkukuh melalui perancangan, promosi dan kerjasama pelbagai pihak bagi mengembangkan potensinya sebagai tarikan pelancongan sukan air di Sarawak.-EDISI UKAS