AgriCOP Pakan Perluas Potensi Pertanian Sebagai Sumber Pendapatan
PAKAN: Kira-kira 150 peserta daripada 13 rumah panjang sekitar Nunggang menyertai Program AgriCOP Daerah Pakan bagi memperluas pengetahuan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penyertaan masyarakat dalam program itu penting bagi membuka ruang kepada penduduk meneroka potensi pertanian sebagai sumber pendapatan yang lebih berdaya maju.
“Pertanian tidak seharusnya dilihat sekadar untuk memenuhi keperluan harian, tetapi perlu dikembangkan sebagai satu bidang perniagaan yang mampu memberikan pulangan ekonomi kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Rasmi Program AgriCOP Daerah Pakan di Rumah Cynthia Sanggau Anak Jamit, Ulu Nunggang, di sini, pada Jumaat.
Tan Sri William berkata, kawasan Nunggang mempunyai potensi dalam pengeluaran hasil pertanian, khususnya buah-buahan yang sejak sekian lama menjadi antara sumber ekonomi penduduk setempat.
Justeru, beliau menggalakkan masyarakat supaya mengenal pasti peluang pemasaran yang bersesuaian agar hasil tanaman dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan memberikan pulangan yang menguntungkan.
Beliau turut menekankan kepentingan mengambil kira kesesuaian tanah dan bentuk muka bumi dalam merancang pembangunan pertanian, selain menggesa Jabatan Pertanian mempergiat bimbingan berkaitan teknik pengeluaran, produktiviti dan pemasaran.
Program itu turut mendapat kerjasama tujuh agensi, termasuk Jabatan Pertanian dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bagi menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang penganjurannya.-EDISI UKAS