Sarawak Perkukuh Industri Perkayuan Melalui Produk Bernilai Tambah Tinggi
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh industri perkayuan dengan memberi tumpuan kepada penghasilan produk hiliran bernilai tambah tinggi, penerapan teknologi dan pengkomersialan reka bentuk tempatan bagi meningkatkan daya saing industri di pasaran global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pemain industri perlu beralih kepada penghasilan produk yang menawarkan nilai komersial lebih tinggi bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos operasi dan tuntutan pematuhan alam sekitar.
“Kita mahu menekankan kepada nilai produk yang lebih tinggi. Pemain industri perlu meningkatkan produktiviti, menggunakan teknologi dan menyesuaikan operasi dengan perubahan pasaran global, selain memberi perhatian kepada pematuhan alam sekitar. Pendekatan ini penting untuk memastikan industri perkayuan terus berdaya saing dan mampu menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi.”katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA berkata, usaha itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang turut membuka ruang kepada penerokaan ekonomi kitaran, penggunaan sisa untuk penghasilan tenaga serta pembangunan tenaga boleh baharu dan bioenergi.
Katanya, antara inisiatif yang dirancang ialah pembangunan taman perabot di Kuching di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang berpotensi memperluas aktiviti hiliran dan membuka peluang perniagaan baharu dalam industri perkayuan.
Beliau berkata, inisiatif Say Designer Sarawak turut memperlihatkan potensi reka bentuk tempatan apabila sebanyak 166 reka bentuk perabot dihasilkan, dengan 10 daripadanya dipilih untuk dikomersialkan bersama pemain industri.
Dalam pada itu, ujar beliau lagi, peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi serta pematuhan terhadap keperluan sumber kayu yang sah dan mampan penting bagi memastikan produk keluaran Sarawak memenuhi tuntutan pasaran dan piawaian alam sekitar.
Tambahnya, potensi sumber seperti buluh dan sisa kayu juga boleh diteroka bagi mempelbagaikan produk industri, di samping menyokong penggunaan sumber secara lebih cekap dan mampan.
Menurut beliau lagi, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, persatuan industri, pelabur dan pengusaha tempatan turut penting untuk mempercepat penghasilan produk berkualiti tinggi, mewujudkan pekerjaan bernilai serta memperluas peluang ekonomi di Sarawak.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penghargaan kepada kakitangan yang bersara dan penyampaian anugerah perkhidmatan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada organisasi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Penasihat PUSAKA, Datu Hashim Bojet, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar PUSAKA, Datu Zainal Abidin Abdullah, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA, Haluyah Awi, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais serta Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam.-EDISI UKAS