UTS Perkukuh Kerjasama Industri, Tingkat Kebolehpasaran Graduan
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mempergiat kerjasama strategik dengan sektor industri bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, kompeten dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja seiring perkembangan ekonomi Sarawak.
Naib Canselor UTS, Prof. Dr. Mohammad Shahril Osman berkata, kerjasama erat antara universiti dengan pemain industri penting bagi memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan semasa dan perkembangan sektor perindustrian.
“Ketika UTS terus bergerak ke hadapan di bawah pengurusan baharu, kita memberikan penekanan lebih besar terhadap pengukuhan penglibatan dan kerjasama dengan industri sebagai sebahagian daripada pembangunan institusi serta hala tuju strategik kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program UTS Career Launchpad & Career Fair 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di sini pada Khamis.
Menurut beliau, kerjasama itu akan diperkukuh menerusi perkongsian strategik, pertukaran pengetahuan dan kepakaran serta penglibatan lebih meluas pemain industri dalam pembangunan universiti.
Katanya, pandangan dan kepakaran industri amat diperlukan bagi membantu UTS menyelaraskan program akademik dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Beliau menegaskan, sebagai universiti milik Kerajaan Sarawak, UTS turut memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan tempatan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam pelbagai sektor ekonomi negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran UTS Career Launchpad & Career Fair 2026 dapat menjadi platform berkesan untuk menghubungkan graduan dengan pemain industri, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakat tempatan.-EDISI UKAS