Penjawat Awam Betong Diseru Jadi Pemacu Perubahan, Tingkat Mutu Perkhidmatan
BETONG: Warga Pejabat Residen Bahagian Betong diseru menjadi pemacu perubahan dalam memperkukuh kecekapan pentadbiran dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan yang memberikan impak langsung kepada masyarakat.
Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas berkata, setiap penjawat awam perlu sentiasa meningkatkan keupayaan diri, mengamalkan integriti serta melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran, keikhlasan dan komitmen tinggi.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Future Ready Civil Service atau Perkhidmatan Awam Bersedia Menghadapi Masa Depan yang menuntut penjawat awam lebih cekap, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan.
Beliau berkata demikian Ketika Majlis Apresiasi Pentadbiran Bahagian Betong di Ruang UG, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Betong di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Pejabat Residen Bahagian Betong yang memperoleh markah 93.50 peratus dalam penilaian Anugerah Pengurusan Aset Cemerlang (APAC) 2026.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan kecekapan pengurusan aset yang lebih sistematik, teratur dan mematuhi piawaian ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berharap kejayaan berkenaan menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan prestasi dan menyasarkan pengiktirafan lebih tinggi pada masa hadapan.
Beliau turut menekankan kepentingan penyediaan dokumentasi dan bukti pelaksanaan tugas yang lengkap bagi melancarkan proses audit serta memperkukuh akauntabiliti organisasi.
Menyentuh pembangunan kerjaya, beliau mengingatkan bahawa peluang kenaikan pangkat dan kemajuan dalam perkhidmatan tertakluk kepada pemenuhan syarat serta pencapaian prestasi yang ditetapkan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025, penghargaan kepada pegawai yang bertukar tempat bertugas dan bersara pada 2026 serta pelajar yang menamatkan latihan industri di Pejabat Residen Bahagian Betong.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Betong, Muhammad Nizam Wang, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Dampa Long.-EDISI UKAS