Che Sea Khor Sarikei Terima Peruntukan RM35,000 Perkasa Aktiviti Kebajikan
SARIKEI: Che Sea Khor Moral Uplifting Society Sarikei menerima peruntukan RM35,000 bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Peruntukan itu diumumkan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 pertubuhan berkenaan di Dewan Sentral Sarikei, baru-baru ini.
Beliau berkata, sepanjang 25 tahun penubuhannya, pertubuhan itu memainkan peranan penting dalam memupuk nilai kasih sayang, semangat kesukarelawanan dan amalan kebajikan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, komitmen berterusan ahli pertubuhan tersebut turut menyumbang kepada pengukuhan hubungan masyarakat serta keharmonian antara kaum dan agama.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, terus memberikan perhatian terhadap keperluan pertubuhan masyarakat, termasuk menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan persatuan.
Sejak 2020 hingga 2026, sebanyak RM363,000 telah disalurkan kepada pertubuhan berkenaan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Jumlah itu merangkumi RM53,000 pada 2020, RM50,000 pada 2021, RM60,000 pada 2022 serta RM50,000 setahun bagi tempoh 2023 hingga 2026.-EDISI UKAS