Teknologi, Data Tepat Perkukuh Pengurusan Alam Sekitar Sarawak
KUCHING: Penggunaan teknologi moden, penyelidikan dan data yang tepat penting dalam memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan pengurusan alam sekitar di Sarawak dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, cabaran alam sekitar yang semakin kompleks memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor industri, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat.
“Kita perlu memanfaatkan penyelidikan, teknologi moden serta data yang tepat bagi memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan dan pengurusan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, Sarawak turut memperkukuh pengurusan pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan sistem pelaporan dan pemantauan yang lebih sistematik bagi memastikan aktiviti ekonomi serta perindustrian dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mematuhi keperluan perundangan alam sekitar.
Katanya, pendekatan itu turut disokong penggunaan teknologi bersih dan inovasi dalam pembangunan ekonomi hijau, termasuk teknologi hidrogen, tenaga solar serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).-EDISI UKAS