Wisma Melayu Sarawak Amanah Baharu, Manfaat Untuk Semua Kaum
KUCHING: Wisma Melayu Sarawak bukan sahaja menjadi pusat kegiatan masyarakat Melayu, malah perlu dimanfaatkan oleh semua kaum sebagai wadah memperkukuh perpaduan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan Wisma Melayu Sarawak membawa tanggungjawab baharu kepada semua pihak untuk memastikan bangunan itu terus dimanfaatkan dan diurus dengan baik.
“Kita mahu melihat Wisma Melayu menjadi pusat kegiatan bukan sahaja terhad kepada masyarakat Melayu tetapi semua kaum serta memberikan manfaat dalam bidang ilmu, pendidikan, sejarah dan kebudayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut berharap generasi muda diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai kegiatan yang dianjurkan di wisma berkenaan.
Katanya, pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan kemahiran serta pemikiran baharu generasi muda bagi memastikan warisan budaya terus berkembang dan kekal relevan mengikut perubahan zaman.
Selain Wisma Melayu Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan Kerajaan Sarawak turut menyokong pembangunan kemudahan kebudayaan untuk masyarakat lain, termasuk Panggau Dayak di Kuching, Pusat Kebudayaan Orang Ulu (FORUM) di Miri, Bidayuh Cultural Centre di Bau, Mazu Temple dan Lebuk Melanau di Kuching.
Ujarnya, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap masyarakat diberikan ruang dan peluang untuk memelihara warisan, adat resam serta identiti masing-masing.
“Usaha Kerajaan Sarawak dalam memelihara warisan setiap masyarakat ini amat bermakna kerana kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga melalui keupayaannya menghargai sejarah, memelihara identiti serta memastikan warisan budaya terus diwarisi oleh generasi akan datang,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi