Projek Pembangunan Rumah Panjang Dipantau, Keperluan Penduduk Diberi Perhatian
SARIKEI: Pelaksanaan projek pembangunan di enam rumah panjang di kawasan Sarikei terus diberi perhatian bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut perancangan serta mengambil kira keperluan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pemantauan di lapangan penting bagi menilai pelaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya yang melibatkan masyarakat rumah panjang.
“Saya ingin memastikan setiap projek yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan. Saya juga mahu mendengar sendiri suara, pandangan serta masalah yang dihadapi oleh mereka supaya keperluan mereka dapat diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pemeriksaan projek di enam rumah panjang berkenaan pada Selasa.
Menurut beliau, lawatan turun padang juga membolehkannya mendengar sendiri pandangan, mengenal pasti masalah serta memahami keperluan penduduk supaya perkara berkenaan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Rumah panjang yang dikunjungi ialah Rumah Siti Nyandau, Rumah Roslie Atul, Rumah Anthony Suding, Rumah Austin Chali Serani, Rumah Mawas Timbu dan Rumah Tayan Gundi.
Turut menyertai lawatan ialah Penghulu Huang Tiong Kang, Kapitan Ling Dien Yong, Penyelaras Zon D merangkap Pengerusi Persatuan Tuai Rumah, Tr. Pitre Ambit, Penyelaras Zon C, Tr. Clement, Penyelaras Zon B1, Tr. Keli Angai serta Penyelaras Zon A, Tr. Anthony Suding.-EDISI UKAS