Calon SPM 2026 Digesa Perkukuh Persediaan, Seimbangkan Akademik & Sahsiah
MERADONG: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 diingatkan supaya memperkukuh persediaan menghadapi peperiksaan dengan memberikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik, disiplin dan pembentukan sahsiah diri.
Penekanan itu antara mesej utama yang disampaikan pada Majlis Graduasi Tingkatan Lima dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong Tahun 2026 yang berlangsung di SMK Meradong pada Khamis.
Majlis berkenaan turut menekankan bahawa kejayaan pelajar bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, malah merangkumi pembentukan keperibadian, nilai moral dan disiplin yang menjadi asas kepada pembangunan modal insan berkualiti.
Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan perkembangan akademik, kebajikan serta masa depan pendidikan pelajar terus diberikan perhatian.
Peranan guru juga amat penting dalam membimbing pelajar bukan sahaja untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang, tetapi turut menerapkan nilai kejujuran, tanggungjawab dan disiplin diri.
Sehubungan itu, pihak sekolah diharap terus memperkukuh program bimbingan dan sokongan akademik, khususnya kepada calon SPM 2026, bagi membantu mereka membuat persediaan terbaik menjelang peperiksaan.
Pada masa sama, pelajar digalakkan menjadikan setiap kejayaan dan pengiktirafan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi serta merebut peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.-EDISI UKAS