Kerjasama Masyarakat Akar Umbi Penting Jayakan Pembangunan Sarawak
IGAN: Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat penting bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan Sarawak dapat berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat.
Perkara itu ditekankan menerusi Program Ramah Mesra JKKK/NGO Daerah Matu yang bermula di Igan pada Khamis, melibatkan penduduk dari enam kampung, iaitu Kampung Shariff Sekerang, Kampung Sekerang, Kampung Tengah, Kampung Pulau, Kampung Baru Ismail dan Kampung Baru Dagang.
Program berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dengan masyarakat akar umbi, selain memberi ruang kepada penduduk berinteraksi secara langsung dan memahami kepentingan peranan bersama dalam pembangunan negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, aspirasi Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
Beliau turut menekankan bahawa perancangan pembangunan dan penyediaan kemudahan oleh kerajaan memerlukan sokongan serta kerjasama masyarakat setempat bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut beliau, masyarakat perlu memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dengan memberikan kerjasama kepada kerajaan dan agensi pelaksana demi memastikan usaha pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan.-EDISI UKAS