Penerapan AI Dalam Pembelajaran Perlu Diperkasa, Persiap Pelajar Hadapi Masa Depan
BETONG: Penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pembelajaran perlu diperkasakan bagi memastikan pelajar menguasai kemahiran digital serta bersedia menghadapi perkembangan teknologi dan keperluan dunia pekerjaan masa hadapan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pelajar perlu memanfaatkan kemudahan pembelajaran sedia ada, termasuk tablet untuk meneroka penggunaan AI sebagai medium meningkatkan pengetahuan dan keberkesanan pembelajaran.
Jelasnya, penguasaan teknologi terkini penting dalam membentuk generasi berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Ulu Layar 2026 di Dewan Kerangan Tapang, SMK Ulu Layar, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan guru-guru di kawasan Betong supaya terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, khususnya dalam pendekatan pembelajaran digital serta penerapan AI di bilik darjah.
Pelaksanaan AI Classroom di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Betong turut dijadikan contoh pendekatan pembelajaran digital yang boleh membuka ruang kepada penggunaan teknologi secara lebih meluas dalam sektor pendidikan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan pendidikan memerlukan sokongan menyeluruh daripada ibu bapa, guru dan komuniti masyarakat kerana pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan anak-anak.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya menghargai setiap pencapaian anak-anak, sama ada kecil mahupun besar, sebagai dorongan untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan lebih tinggi.
Menyentuh mengenai laluan pendidikan, Datuk Gerald berkata, pengajian Tingkatan Enam perlu dilihat sebagai salah satu pilihan penting untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, terdapat pelajar yang kurang menyerlah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus membuktikan bahawa setiap pelajar mempunyai peluang mencapai kejayaan melalui laluan pendidikan berbeza.
Justeru, ibu bapa perlu memahami pilihan pendidikan dan kerjaya yang tersedia bagi membantu anak-anak merancang masa depan dengan lebih baik.
Turut hadir Pengetua SMK Ulu Layar, Langgie Ujang, Pengetua SMK St. Augustine Betong merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS), Ujai Sambau, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Yang Dipertua SMK Ulu Layar, Merrie Jampi serta Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang.-EDISI UKAS