Pertandingan Bola Keranjang Sarikei Eratkan Hubungan Tiga Generasi
SARIKEI: Penglibatan tiga generasi dalam Pertandingan Bola Keranjang Sarikei bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan interaksi masyarakat tanpa mengira usia.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, keistimewaan pertandingan itu terletak pada penyertaan golongan tua, dewasa dan generasi muda yang berpeluang bermain serta saling memberikan sokongan.
“Ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi juga peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan antara generasi dan interaksi dalam keluarga. Masa yang diluangkan bersama di gelanggang serta sokongan antara satu sama lain lebih bermakna daripada sebarang piala,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Pertandingan Bola Keranjang Sarikei anjuran Kelab Bola Keranjang Repok, Sarikei di New Grand Palace Seafood Restaurant, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, usaha membangunkan sukan di Sarikei terus diberikan perhatian, termasuk penyediaan gelanggang bola keranjang yang selesa dan selamat untuk kegunaan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan dan penyediaan kemudahan berkualiti untuk rakyat di bandar serta luar bandar.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih, pegawai teknikal dan petugas penganjur atas komitmen menjayakan pertandingan berkenaan yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta dan tetamu.
Turut hadir Pengerusi Pengelola merangkap Timbalan Pengerusi Kelab Bola Keranjang Repok Sarikei Wong Khung Kong, Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei Lu Yew Hee, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Stephen Wong Kie Yong serta Kapitan Ling Sien Chuong dan Kapitan Ling Dien Yong.- EDISI UKAS