Majlis Khatam Al-Quran SK Beladin Semai Kecintaan Terhadap Al-Quran
BELADIN: Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin menjadi platform menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan murid selain membentuk generasi berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Pegawai Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Betong, Ustaz Mohamad Hishammudin Saudi berkata, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan murid menamatkan bacaan al-Quran, malah menjadi usaha membudayakan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran SK Beladin 2026 yang berlangsung di SK Beladin, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, murid perlu terus membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran bagi membentuk akhlak serta sahsiah diri yang terpuji.
Beliau turut berharap agar generasi muda sentiasa celik al-Quran dan menjadikan kitab suci itu sebagai pegangan dalam kehidupan serta mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.
Sementara itu, Guru Besar SK Beladin, Zariman Ali berkata, penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja meraikan murid yang berjaya menamatkan bacaan al-Quran, malah menggalakkan budaya membaca dan menghayati kitab suci itu secara berterusan.
Beliau turut mengingatkan murid supaya memberikan perhatian kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian, selain menjaga kewajipan solat serta tidak mengabaikan kecemerlangan akademik.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan murid agar menggunakan telefon pintar secara berhemah dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif serta gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan majlis berkenaan.
Majlis tersebut diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai asas keagamaan, akhlak dan sahsiah yang kukuh.
Turut hadir Ketua Pemuda PBB Beting Maro Awang Nashfarini Awang Sarbini, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji serta Penghulu kawasan Beladin Zakaria Mos.- EDISI UKAS