Kerjasama KMKK, Agensi Kerajaan Diperkukuh Demi Tadbir Urus Kampung Lebih Berkesan
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama antara Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dengan agensi kerajaan terus diperkukuh bagi memastikan pentadbiran kampung di Daerah Samarahan lebih sistematik, berintegriti dan responsif terhadap keperluan penduduk.
Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak berkata, kerjasama erat itu penting bagi memperkemas penyelarasan pentadbiran, pengemaskinian profil kampung serta mengenal pasti keperluan pembangunan masyarakat secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, KMKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyalurkan maklumat tepat mengenai isu dan keperluan penduduk di kawasan masing-masing.
“Melalui sesi ini, kita ingin mendapatkan maklumat yang lebih terperinci daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum supaya kita dapat mengenal pasti apa yang masih kurang, perkara yang perlu ditambah baik serta keperluan yang perlu dirancang untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat mewakili Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang pada Program Sesi Libat Urus Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini pada Selasa.
Ahmad turut menekankan kepentingan ketepatan maklumat, integriti pengurusan dan dokumentasi teratur bagi memastikan setiap perancangan serta pelaksanaan pembangunan kampung dapat dipantau dengan berkesan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan KMKK supaya memastikan mesyuarat jawatankuasa kampung diadakan secara berkala, selain menyediakan laporan dan rekod pentadbiran yang lengkap.
“KMKK merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan masyarakat. Oleh itu, saya berharap semua KMKK dapat memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya terhadap segala usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak pentadbiran daerah dan agensi kerajaan,” ujarnya.
Dalam aspek keselamatan komuniti, beliau turut menggesa KMKK memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya dalam membanteras penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang.
Katanya, penyaluran maklumat melalui saluran rasmi amat penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Sementara itu, program berkenaan turut memberi tumpuan kepada pengemaskinian persempadanan dan profil kampung bagi memperjelas kawasan pentadbiran serta bidang tanggungjawab setiap KMKK.
Antara pengisian program ialah taklimat pengemaskinian persempadanan kampung oleh Ketua Seksyen Pembangunan Pejabat Daerah Samarahan, Faizal Asi, serta taklimat berkaitan penyalahgunaan dadah oleh Ketua Pegawai AADK Daerah Samarahan, Harni Tani.
Turut diadakan taklimat bertajuk ‘Perangi Dadah, Lindungi Generasi’ oleh Inspektor Jasni Nimos daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan serta penerangan profil kampung oleh Ketua Seksyen Transformasi Sosial, Siti Zaharah Mohamad Mohmood.
Program itu turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan Jawatankuasa Kerja OSC MIDS Zon Komuniti kepada Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan, Seli Hassan.
Hadir sama, wakil Ketua Polis Daerah Samarahan, Inspektor Jasni Nimos, Ketua Pegawai AADK Daerah Samarahan, Harni Tani serta Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan, Seli Hassan.
Program anjuran Pejabat Daerah Samarahan bersama Jawatankuasa OSC MIDS Daerah Samarahan itu menjadi platform penyelarasan antara kepimpinan masyarakat dan agensi kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus kampung serta kesejahteraan komuniti.-EDISI UKAS