Pengeluaran Gas Rosmari-Marjoram Perkukuh Kedudukan Sarawak Sebagai Hab Tenaga
KUALA LUMPUR: Kedudukan Sarawak sebagai hab industri tenaga terus diperkukuh apabila Sarawak Shell Berhad (SSB), anak syarikat Shell plc, memulakan pengeluaran gas daripada medan Rosmari dan Marjoram yang terletak kira-kira 220 kilometer di luar pesisir Sarawak.
Pengeluaran gas daripada medan laut dalam itu bakal menyokong rantaian bekalan gas asli cecair (LNG) menerusi penyaluran gas melalui saluran paip sepanjang 207 kilometer ke loji pemprosesan gas darat baharu di Bintulu sebelum dibekalkan kepada Kompleks LNG PETRONAS.
Presiden Upstream Shell, Peter Costello berkata, permulaan operasi Rosmari-Marjoram mencerminkan keupayaan syarikat itu memanfaatkan kepakaran dan pengalaman selama beberapa dekad dalam industri minyak dan gas di Malaysia.
“Shell berbangga dengan sejarah panjang dan kejayaannya di Malaysia. Kami mempunyai kepakaran yang kukuh di lembangan ini dan permulaan operasi Rosmari-Marjoram menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran sehingga tahun 2030-an.
“Projek ini memanfaatkan pengalaman berdekad-dekad untuk membawa bekalan gas baharu ke pasaran secara cekap dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Sementara itu, Pengerusi Negara dan Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman berkata, pencapaian berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara Shell, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, Shell kekal komited untuk membantu memenuhi keperluan tenaga Malaysia yang semakin meningkat, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pelaburan yang berdaya saing dan berdaya tahan.
Pembangunan Rosmari-Marjoram merangkumi kemudahan dasar laut, platform kepala telaga tanpa pemandu serta loji pemprosesan gas darat di Bintulu.
Dari aspek kelestarian, platform luar pesisir berkenaan menggunakan tenaga solar dengan sokongan penjana diesel apabila diperlukan.
Loji pemprosesan gas darat pula menggunakan bekalan elektrik yang sebahagian besarnya dijana daripada tenaga hidro, selain dilengkapi sijil tenaga boleh baharu bagi mencapai penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu.
Medan gas laut dalam yang ditemukan pada 2014 itu terletak pada kedalaman air kira-kira 800 meter, dengan gas yang mengandungi hidrogen sulfida diproses melalui kemudahan rawatan di darat bagi memastikan pengendalian yang selamat.
Keputusan pelaburan akhir bagi pembangunan Rosmari-Marjoram dibuat pada September 2022, manakala loji pemprosesan gas darat berkenaan merupakan projek darat terbesar SSB di Sarawak sejak penghujung 1970-an.-EDISI UKAS