CEO SMD Semiconductor Terima Anugerah Top CEO Icon Leaders 2026
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor Sdn. Bhd. Dato Shariman Jamil menerima Anugerah Top CEO Icon Leaders pada International CEO and Business Leaders Forum 2026, sekali gus mengiktiraf kepimpinan beliau dalam memacu pembangunan industri semikonduktor bernilai tinggi di Sarawak.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengasas Penaung World Business Chamber, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi pada majlis pembukaan forum yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel di sini pada Selasa.
Pengiktirafan itu mencerminkan peranan strategik SMD Semiconductor dalam memperkukuh keupayaan Sarawak membangunkan teknologi semikonduktor sendiri, selaras dengan aspirasi negeri untuk meningkatkan penyertaan dalam industri teknologi tinggi.
Ditubuhkan pada 2022 sebagai inisiatif strategik Kerajaan Sarawak, SMD Semiconductor memberi tumpuan kepada pembangunan, pemilikan dan pengkomersialan teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar.
Antara pencapaian utama syarikat ialah pembangunan **keteq.GaN**, cip semikonduktor kuasa berasaskan Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka di Sarawak dan diperkenalkan pada International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2026 pada Oktober lalu.
Teknologi berkenaan dibangunkan bagi menyokong pelbagai aplikasi elektronik kuasa generasi baharu termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar, transformer keadaan pepejal serta teknologi aeroangkasa.
Mengulas pengiktirafan tersebut, Dato Shariman berkata, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya mencerminkan komitmen seluruh pasukan SMD Semiconductor serta visi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan industri yang mampu mencipta dan memiliki teknologi sendiri.
“Pembangunan keteq.GaN merupakan satu pencapaian penting, tetapi pembangunan teknologi hanyalah permulaan.
“Ukuran kejayaan sebenar ialah keupayaan kita menterjemahkan inovasi kepada produk, peluang komersial dan nilai ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, tumpuan seterusnya adalah mempercepat usaha pengkomersialan, memperluas kerjasama strategik dan meneroka akses pasaran global bagi memastikan teknologi yang dibangunkan di Sarawak mampu memenuhi keperluan industri antarabangsa.
SMD Semiconductor akan terus memperkukuh pembangunan produk, kerjasama industri serta pengkomersialan teknologi sebagai usaha membina ekosistem semikonduktor yang berdaya saing.
Usaha itu juga dijangka menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi Sarawak di samping membuka lebih banyak peluang pembangunan bakat tempatan berkemahiran tinggi dalam industri teknologi masa hadapan.-EDISI UKAS