Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asas Pembentukan Generasi Berilmu, Inklusif Di Sarawak
DALAT: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam membentuk keperibadian, keyakinan diri dan sahsiah generasi masa depan Sarawak, bukan sekadar persediaan asas mengenali huruf dan angka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, seramai 30,695 daripada 31,035 murid Tahun Satu di seluruh Sarawak pada 2026 telah mengikuti pendidikan prasekolah, sekali gus mencatatkan kadar penyertaan sebanyak 98.9 peratus.
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan awal yang meluas, selain memberi penekanan terhadap kualiti, persekitaran pembelajaran yang selamat serta pendekatan berpusatkan kanak-kanak.
“Pendidikan awal yang berkesan akan membina asas yang kukuh bagi perjalanan pendidikan seterusnya serta membentuk generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Kita mahu anak-anak datang ke tadika dengan perasaan gembira, berasa selamat untuk meneroka, berani mencuba perkara baharu serta mendapat bimbingan yang sewajarnya daripada guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Mukah dan One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) Dalat Tahun 2026 di Dewan Utama Kompleks Kebajikan Dalat, pada Isnin.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 43 kanak-kanak daripada tujuh buah Tadika SeDidik Zon Mukah dan 24 kanak-kanak daripada OSEIC Dalat diraikan selepas menamatkan program pendidikan awal masing-masing.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah SeDidik berkata, SeDidik Sarawak terus memperkasa penyampaian perkhidmatannya menerusi pendigitalan melalui aplikasi MySeDidik bagi melancarkan komunikasi antara pihak pengurusan, guru dan ibu bapa.
Sehingga Oktober 2026,seramai 5,654 daripada 6,230 ibu bapa telah aktif menggunakan sistem berkenaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan inklusif dan program intervensi awal bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan sokongan khas tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Sehubungan itu, pelaksanaan saringan digital menerusi kerjasama dengan syarikat Jepun, Toy8, turut dilaksanakan bagi mengesan potensi keperluan khas dalam kalangan kanak-kanak pada peringkat lebih awal.
Hadir sama ialah Pengurus Besar SeDidik Sarawak, Ayub Dahari, Pengurus OSEIC Sarawak, Datuk Dr. Sadiah Abdul Samad, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Dalat, Adrian Lang serta Nizam Muhammad Adli yang mewakili Residen Bahagian Mukah. - EDISI UKAS