Projek Jalan RM7.6 Juta Bakal Tingkat Akses Tiga Kampung Di Tarat
SERIAN: Penduduk tiga kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan selamat menerusi pelaksanaan Projek Membina Baharu Jalan Borneo Empurau/Kampung Tarat bernilai RM7.6 juta.
Projek di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) itu melibatkan pembinaan dan naik taraf jalan sepanjang 2.008 kilometer (km) yang memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tarat Sibala, Kampung Tarat Melawi dan Kampung Tarat Mawang.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu GKCDA, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan telah diluluskan lebih setahun lalu, namun pelaksanaannya memerlukan penyelesaian beberapa proses berkaitan tanah termasuk kerja penyukatan dan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah terlibat.
Menurut beliau, majlis pelancaran dan penyerahan projek itu merupakan langkah rasmi memulakan pelaksanaan projek yang telah dirancang sebelum ini.
“Ini bukan projek baharu, ia memang sudah diluluskan. Pada hari ini kita hanya memformalkan pelaksanaannya selepas proses berkaitan tanah diselesaikan,” katanya dalam majlis yang diadakan di Dewan Kampung Tarat Melawi pada Selasa.
Beliau menambah, meskipun jajaran jalan berkenaan tidak terlalu panjang, pembinaannya amat penting bagi menyediakan laluan alternatif yang lebih baik berbanding jalan sedia ada yang sempit dan terhad.
Projek tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar bagi meningkatkan kesalinghubungan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Skop projek merangkumi pembinaan jalan baharu berturap, menaik taraf jalan sedia ada, penyediaan sistem saliran dan pembetung, pemasangan perabot jalan serta penambahbaikan susun atur persimpangan utama.
Ia turut melibatkan kerja pengalihan utiliti sedia ada yang dikendalikan Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Telekom Malaysia (TM).
Projek yang mempunyai tempoh kontrak selama 12 bulan itu dijadualkan siap pada 30 Ogos 2027 berdasarkan tarikh siap semakan.
Pada majlis berkenaan, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek tersebut.
Turut hadir, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Timbalan Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Ts. John Aten Pawang dan Jurutera Bahagian JKR Serian, Ir. Ts. Chiresly Francis Kureng.-EDISI UKAS