Jambatan Sejingkat Perkukuh Jaringan Pesisir, Rancakkan Ekonomi Setempat
KUCHING: Pembukaan Jambatan Sejingkat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kawasan pesisir Sarawak dengan memperkukuh jaringan perhubungan antara Kuching dan Samarahan, sekali gus memperluas akses ke Sebuyau, Sri Aman dan Betong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan jambatan itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kesalinghubungan kawasan pesisir, selain memudahkan pergerakan penduduk dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurut beliau, pembangunan jaringan jalan raya termasuk Jalan Utama Kedua membolehkan kawasan yang sebelum ini dipisahkan oleh sungai dihubungkan dengan lebih baik, sekali gus memudahkan perjalanan antara kawasan pesisir.
“Kita membangunkan Jambatan Sejingkat adalah satu usaha kita untuk merapatkan kawasan Samarahan dengan kita di seberang sungai ini.
“Keduanya, daripada kawasan Samarahan, kita terus boleh berjalan naik keretalah sampai ke Sebuyau dan dengan jalan yang kita bina sekarang iaitu ‘Second Trunk Road’, kita boleh pergi ke Lingga.
“Dari Lingga, kita juga boleh pergi terus ke Betong daripada Simanggang. Simanggang ke Betong hanya 20 minit sahaja. Jadi bermakna kita merapatkan kawasan-kawasan di kawasan pesisir yang mempunyai jumlah penduduk yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pembangunan jaringan jambatan dan jalan raya turut membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk apabila kawasan yang sebelum ini sukar dihubungi kini mempunyai akses lebih baik kepada pasaran dan pembeli.
Beliau turut mengambil contoh perkembangan sektor perikanan di Sebuyau yang mendapat manfaat daripada kemudahan perhubungan lebih baik, sekali gus berpotensi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Sementara itu, Jambatan Sejingkat sepanjang 1,281.2 kilometer merupakan sebahagian daripada projek Pakej D3A: Cadangan Jalan Utama Kedua Kuching–Samarahan (Jambatan Merentasi Sungai Sarawak di Sejingkat) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan nilai kontrak RM365.74 juta.
Jambatan yang menghubungkan Sejingkat dengan Tanjung Bako itu menyediakan laluan alternatif antara Kuching dan Samarahan, sekali gus dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Kuching–Samarahan, khususnya pada waktu puncak.
Dari aspek reka bentuk, jambatan berkenaan menggunakan struktur kabel penahan (cable-stayed) dengan tiga rentang utama masing-masing sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter.
Jambatan itu turut menyediakan laluan navigasi sungai selebar 200 meter dengan kelegaan menegak 26 meter bagi membolehkan pergerakan pengangkutan air.
Turut hadir, anak Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang, Timbalan-Timbalan Menteri dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Hazrin Sunaini & Shahril Haqim