Projek Jalan Raya, Bekalan Air Dicadang Perkukuh Kemudahan Asas Serian
SERIAN: Cadangan pelaksanaan dua projek jalan raya bernilai RM286 juta serta empat projek bekalan air dengan anggaran kos keseluruhan RM1.005 bilion dikemukakan bagi memperkukuh kemudahan asas dan menyokong keperluan pembangunan jangka panjang di Bahagian Serian.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, cadangan berkenaan merangkumi usaha melengkapkan jaringan jalan raya sedia ada serta meningkatkan kapasiti dan kecekapan sistem bekalan air bagi memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, antara projek yang dicadangkan ialah pembinaan Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 3 sepanjang sembilan kilometer dengan anggaran kos RM160 juta.
“Dengan terlaksananya projek ini, jajaran dari Temong-Tepoi-Sadir-Annah Rais yang menghubungkan Daerah Tebedu, Bahagian Serian dengan Daerah Kecil Padawan, Kuching akan dapat dilengkapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Serian (SCC) pada Sabtu.
Dato Sri Roland menambah, satu lagi cadangan melibatkan Projek Jalan Padawan Fasa 2 sepanjang 15 kilometer dengan anggaran kos RM126 juta bagi melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Padawan mengikut piawaian R3 Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam aspek bekalan air pula, beliau memaklumkan bahawa empat projek telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk pertimbangan kelulusan.
Projek berkenaan merangkumi pembangunan sumber air mentah bagi Bekalan Air Serian dengan anggaran kos RM200 juta serta kerja penambahbaikan dan penaiktarafan sistem Bekalan Air Serian bernilai RM700 juta.
Dua lagi cadangan melibatkan projek Bekalan Air Tebedu dengan anggaran kos RM70 juta dan Bekalan Air Bunan bernilai RM35 juta.
Menurut beliau, pelaksanaan projek yang dicadangkan itu penting bagi meningkatkan keupayaan sistem bekalan air sedia ada, khususnya dalam menghadapi pertambahan permintaan susulan pembangunan dan pertumbuhan penduduk.
“Impak projek ini amat besar, terutama dalam meningkatkan kelangsungan bekalan air jangka panjang di Bahagian Serian, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan loji rawatan air serta memastikan bekalan air terawat yang mencukupi, stabil dan berterusan kepada pengguna,” jelas beliau.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery