SERIAN: Lima projek infrastruktur utama melibatkan pembangunan dan penaiktarafan jalan raya serta kemudahan bandar terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh jaringan perhubungan, meningkatkan keselamatan perjalanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Bahagian Serian.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan Jalan Serian-Gedong-Samarahan, penaiktarafan Jalan Padawan Fasa 1, Jalan Padawan Link (Kampung Semeru-Kuhom), pembangunan Bandar Baharu Serian serta Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 2.
Menurutnya, antara projek utama ialah pembinaan Jalan Serian-Gedong-Samarahan sepanjang 18.33 kilometer dengan kos keseluruhan RM860 juta yang kini dalam fasa pelaksanaan.
Katanya, bagi jajaran Fasa 1 dari Simpang Rayang ke Tanah Puteh sepanjang 9.79 kilometer di Bahagian Serian, projek berkenaan melibatkan peruntukan RM380 juta.
“Projek berskala besar ini bakal menyediakan jalan berturap empat lorong, laluan Transit Aliran Autonomi (ART) dan laluan basikal bagi menghubungkan kawasan Serian-Gedong-Samarahan.
“Pembinaannya bertujuan melancarkan perjalanan, menjimatkan masa, meningkatkan keselamatan rakyat serta mengukuhkan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Serian (SCC) pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dato Sri Roland berkata, Projek Naik Taraf Jalan Padawan Fasa 1 sepanjang kira-kira 14.9 kilometer dari Simpang Tapah ke Teng Bukap, Siburan melibatkan kos RM73.9 juta bagi menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
Sementara itu, Projek Naik Taraf Jalan Padawan Link dari Kampung Semeru ke Kampung Kuhom, Tebedu bernilai RM95 juta dijangka memberi manfaat kepada penduduk di sembilan kampung sepanjang laluan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa projek pembinaan infrastruktur utama dan kerja berkaitan bagi pembangunan Bandar Baharu Serian Fasa 1 bernilai RM28 juta telah siap pada 7 Oktober 2026.
Projek yang bermula pada 13 November 2023 itu dijangka memberi wajah baharu kepada landskap pembangunan Bandar Serian, selain menyokong pertumbuhan kawasan berkenaan.
Selain itu, pembinaan Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 2 sepanjang 6.6 kilometer dengan kos RM48 juta turut menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan akses penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka memperkukuh ketersambungan jalan raya, meningkatkan keselamatan perjalanan serta membuka potensi lebih luas dalam sektor pertanian dan ekopelancongan di Daerah Tebedu dan Daerah Kecil Padawan.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery