GKCDA Laksana 531 Projek Bernilai RM1.5 Bilion Sejak 2023
SERIAN: Sebanyak 531 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM1.5 bilion telah dilaksanakan oleh Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) sejak 2023 hingga 15 Oktober 2026, merangkumi sektor infrastruktur, sosial dan ekonomi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
“Angka itu bukan sekadar statistik pembangunan, sebaliknya menggambarkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta memperkukuh ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Serian (SCC) pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor infrastruktur mencatatkan jumlah projek tertinggi, iaitu sebanyak 412 projek dengan peruntukan RM973.6 juta.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, penyediaan kemudahan asas serta infrastruktur sokongan bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan pembangunan kawasan.
Sementara itu, sebanyak 89 projek sektor sosial bernilai RM177.8 juta dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan masyarakat, kesihatan, pendidikan serta pembangunan sosial bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Bagi sektor ekonomi, sebanyak 26 projek dengan peruntukan RM332.1 juta dilaksanakan bagi merangsang aktiviti ekonomi, memperluas peluang perniagaan serta meningkatkan potensi pendapatan masyarakat setempat.
Empat lagi projek dalam kategori lain melibatkan peruntukan RM7.3 juta.
“Jelas sekali, pembangunan yang sedang kita laksanakan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur fizikal. Kita turut memberikan perhatian kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan sosial dan pengukuhan ekonomi masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery