KUCHING: Pembangunan infrastruktur dan pelaburan dalam pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak hari ini merupakan usaha jangka panjang bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berupaya memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi, sekali gus membantu mengurangkan kemiskinan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setiap pembangunan yang dirancang bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan semasa, malah memastikan generasi akan datang menikmati taraf kehidupan yang lebih baik.
Menurut beliau, penguasaan ilmu dan kemahiran menjadi asas penting dalam mengubah nasib sesebuah keluarga, khususnya melalui peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
“Yang kita buat hari ini ialah untuk anak cucu kita. Apabila mereka pandai, kerja gaji besar, setidak-tidaknya kita dapat mengurang kemiskinan kerana kemiskinan ini hanya dengan ilmu saja yang boleh kita ubah nasib sesebuah keluarga,” katanya Ketika Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan perancangan pembangunan secara berterusan bagi memastikan Sarawak mempunyai generasi berpengetahuan dan berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan sektor ekonomi baharu.
Usaha tersebut juga penting bagi memastikan manfaat pembangunan negeri dapat dinikmati secara berterusan, bukan sahaja oleh masyarakat hari ini, malah generasi akan datang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Hazrin Sunaini & Shahril Haqim