‘Thank You Bang Jo’ Hiasi Langit Kuching, 1,000 Dron Curi Tumpuan Pada Perasmian Jambatan Sejingkat
KUCHING: Langit malam Kuching bertukar menjadi pentas cahaya yang memukau apabila 1,000 dron membentuk pelbagai formasi menarik termasuk tulisan ‘Thank You Bang Jo’ yang mencuri tumpuan orang ramai sempena Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat pada Jumaat.
Persembahan cahaya dron berskala besar itu menjadi antara tarikan utama sambutan apabila 1,000 titik cahaya bergerak serentak menghiasi ruang udara, sekali gus mencipta suasana penuh warna-warni berlatarbelakangkan mercu tanda infrastruktur baharu Sarawak.
Formasi ‘Thank You Bang Jo’ menjadi antara detik paling menarik dalam persembahan tersebut apabila susunan dron bercahaya menghasilkan mesej penghargaan yang jelas kelihatan di langit malam.
Gabungan teknologi, kreativiti dan permainan cahaya itu memberikan kelainan kepada acara perasmian, sekali gus menjadikan Jambatan Sejingkat bukan sahaja tumpuan kerana keunikan seni binanya, malah turut menjadi latar kepada persembahan visual berkenaan.
Kemeriahan malam diteruskan dengan pertunjukan bunga api sejurus persembahan dron berakhir menyaksikan percikan cahaya berwarna-warni menerangi ruang udara di sekitar jambatan tersebut.
Pertunjukan itu melengkapkan sambutan perasmian yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Jambatan Sejingkat sepanjang 1.281 kilometer yang dibina dengan kos RM365.74 juta itu menghubungkan Sejingkat dengan Tanjung Bako, sekali gus menyediakan laluan alternatif antara Kuching dan Samarahan.
Jambatan empat lorong dua hala berkenaan menggunakan reka bentuk kabel penahan dengan menara konkrit setinggi 119 meter yang turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai menara konkrit berbentuk berlian dalam satah tertinggi di Malaysia.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Hazrin Sunaini & Shahril Haqim