Jambatan Sejingkat Cipta Rekod Malaysia, Miliki Menara Konkrit Berbentuk Berlian Tertinggi
KUCHING: Jambatan Sejingkat melakar pencapaian dalam bidang kejuruteraan negara apabila menara konkrit berbentuk berlian dalam satah (In-Plane Diamond-Shaped Concrete Pylon) setinggi 119 meter diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai yang tertinggi di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja menjadi satu pencapaian membanggakan bagi Sarawak, malah membuktikan keupayaan jurutera dan industri pembinaan tempatan dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.
“Kejayaan seperti ini memperlihatkan kebolehan jurutera dan industri pembinaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan, jambatan berkenaan menampilkan beberapa ciri kejuruteraan utama, termasuk struktur jambatan kabel penahan (*cable-stayed bridge*) dengan dek utama sepanjang 800 meter yang menggunakan sistem bersepadu sepenuhnya.
Menurut beliau, sistem tersebut membolehkan dek jambatan dihubungkan secara langsung dengan empat tiang penyangga tanpa menggunakan galas jambatan pada struktur utama.
Selain itu, reka bentuk menara konkrit berbentuk berlian dalam satah turut menjadi keunikan seni bina dan kejuruteraan jambatan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Jambatan Sejingkat merupakan jambatan mega ke-12 yang disiapkan menerusi program pembinaan jambatan utama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Setakat ini jelasnya, sebanyak 14 daripada keseluruhan 22 jambatan mega di bawah program berkenaan telah siap dibina dan dibuka kepada pengguna, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan aksesibiliti antara kawasan di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Hazrin Sunaini & Shahril Haqim