Hujan Tidak Halang Kemeriahan Konsert Rakyat SKS Serian, Tiga Pengunjung Bertuah Menang Motosikal
SERIAN: Hujan yang turun pada awal program tidak mematahkan semangat masyarakat untuk memeriahkan Konsert Rakyat Sarawakku Sayang Bahagian Serian yang berlangsung di perkarangan Serian Conference Centre (SCC) pada Jumaat.
Kehadiran pengunjung yang memenuhi khemah utama membuktikan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran konsert berkenaan yang menghimpunkan barisan artis tempatan serta menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan e-peraduan.
Kemeriahan malam itu semakin terasa apabila pengunjung dihiburkan dengan persembahan Rahmad Mega, Bob Yusuf, Mellissa Francis, Claudia Geres, Karen Cinder, Iwan Dasri, Dygku Fadzilah dan Yadee yang diiringi kumpulan muzik Band D’Jaksa.
Konsert yang dikendalikan pengacara Fir Affandi itu turut menyaksikan pengunjung bersama-sama memeriahkan persembahan dalam suasana santai dan penuh keceriaan.
Kemuncak acara menyaksikan tiga pengunjung bertuah masing-masing membawa pulang sebuah motosikal AVETA DY115 menerusi cabutan e-peraduan.
Salbia Bujang dari Gedong muncul sebagai pemenang motosikal berwarna merah, manakala Melin Sunang dari Kampung Belimbing B memenangi motosikal berwarna hitam.
Seorang lagi pemenang, Jimmy Kaeh dari Kampung Reteh Karas, membawa pulang motosikal berwarna biru hitam.
Selain tiga hadiah utama itu, pelbagai hadiah menarik lain turut ditawarkan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
Penganjuran konsert berkenaan bukan sahaja menyediakan hiburan kepada masyarakat, malah menjadi platform mengetengahkan bakat seni tempatan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti menerusi aktiviti yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan.-EDISI UKAS