Kesejahteraan Petugas Kesihatan Asas Penjagaan Pesakit Berkualiti
KUCHING: Kesejahteraan mental dan kekuatan dalaman petugas kesihatan merupakan antara elemen penting dalam memastikan perkhidmatan penjagaan pesakit kekal berkualiti, berkesan serta berteraskan nilai kemanusiaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Hui Kian berkata, petugas kesihatan bukan sahaja perlu memiliki kemahiran klinikal, malah perlu diberi perhatian dari aspek kesejahteraan diri bagi membolehkan mereka menghadapi tekanan dan cabaran tugas dengan lebih berdaya tahan.
Menurut beliau, penjagaan kesihatan yang berkualiti tidak hanya bergantung kepada kemajuan teknologi dan pematuhan protokol perubatan, sebaliknya turut menuntut nilai belas ihsan, ketenangan serta keprihatinan terhadap pesakit.
“Perubatan bukan hanya mengenai protokol klinikal dan teknologi, tetapi ia sangat berkait dengan aspek kemanusiaan.
“Apabila kita meletakkan petugas penjagaan kesihatan, termasuk penjagaan diri dan kekuatan dalaman mereka, sebagai keutamaan, penjagaan terhadap pesakit secara semula jadi akan bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng pada program Values in Healthcare – A Spiritual Approach di Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching (KCSSC) di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Prof Dr Sim berkata, pendekatan spiritual dalam penjagaan kesihatan mampu membantu petugas membina ketenangan jiwa, pemikiran positif dan kekuatan dalaman, khususnya ketika berdepan tekanan serta keletihan akibat tuntutan kerja.
Jelasnya, pendekatan itu juga dapat memupuk semangat kerjasama, memperkukuh hubungan sesama petugas serta menyemarakkan kembali nilai dan tujuan asal mereka memilih kerjaya dalam bidang penjagaan kesihatan.
Beliau berharap nilai positif yang diterapkan menerusi program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut diterjemahkan dalam interaksi harian bersama rakan sekerja, pesakit dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai komitmen Brahma Kumaris Foundation yang melaksanakan sesi meditasi selama satu jam setiap Khamis di dewan doa pelbagai agama Hospital Umum Sarawak sejak 2025.
Inisiatif berkenaan bertujuan memupuk pemikiran positif serta mendoakan kesejahteraan pesakit, doktor, kakitangan hospital dan masyarakat secara keseluruhannya.
Program Values in Healthcare – A Spiritual Approach (Nilai dalam Penjagaan Kesihatan – Pendekatan Spiritual) yang melibatkan jururawat Hospital Umum Sarawak itu dianjurkan dengan sokongan Junkie Foundation, UK Global Hospital and Research Centre, Malapu, India serta Brahma Kumaris Foundation Malaysia.-EDISI UKAS