Calon GPS Diingatkan Galas Amanah Penuh Tanggungjawab
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya menggalas amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, selain mengambil pendekatan realistik dalam menyampaikan komitmen kepada masyarakat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setiap calon yang dipilih perlu memahami bahawa pencalonan mereka merupakan satu amanah yang menuntut komitmen, integriti dan tanggungjawab, bukan sekadar peluang untuk bertanding.
“Satu sahaja pesan saya iaitu kita ini hanya ‘calon pengantin’ sahaja, jangan berjanji terlalu banyak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat semasa Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di sini pada Khamis.
Dalam amanat itu, beliau turut mengingatkan calon supaya memberi perhatian kepada pengurusan pilihan raya, khususnya peranan ejen pilihan raya masing-masing bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar.
Tegas beliau, calon perlu bekerja keras dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya bagi membantu GPS mencapai sasaran kemenangan.
“Kalau boleh, 82 (kerusi DUN) semua kita ambil,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS