Kuala Baram Cycling Race 3.0 Pacu Miri Sebagai Destinasi Pelancongan Sukan Bertaraf Antarabangsa
MIRI: Acara lumba basikal, Kuala Baram Cycling Race (KBCR) 3.0 dapat menjadi platform dalam mengangkat Miri sebagai destinasi baharu pelancongan sukan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, perlumbaan bakal berlangsung pada 9 dan 10 November ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi berbasikal sebagai usaha ke arah kehidupan yang lebih mesra alam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu menambah penganjuran acara ini bukan sekadar mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Pejabat Residen, dan Majlis Bandaraya Miri, malahan ia juga akan diiktiraf oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
Beliau memaklumkan perkara ini semasa menghadiri sidang media yang diadakan di Miri City Mall pada Khamis.
Dianjurkan oleh Kelab Berbasikal Masterpiece, penganjuran itu juga selaras dengan visi bandar Miri sebagai Bandar Peranginan Antarabangsa Hijau dan Pintar yang dapat dihuni.
Menurut Datuk Sebastian Ting lagi,
Kementerian Pelancongan, Budaya dan Kesenian Sarawak telah meluluskan geran sebanyak RM150,000 kepada Kelab Berbasikal Masterpiece melalui Pejabat Residen sebagai Kumpulan Tugas Pelancongan Bahagian untuk menganjurkan KBCR 3.0 pada November ini nanti.
Baru-baru ini, KBCR telah diiktiraf dan dicalonkan sebagai finalis Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak ke-9 bagi kategori Best Tourism Events and Festival Experiences di bawah subkategori acara pelancongan sukan paling menarik di Sarawak.
Hadir sama Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Masterpiece Cycling Club, Abu Bakar dan tetamu kehormat yang lainnya.-EDISI UKAS