SK St. Stephen Bau Terima Geran RM150,000 Untuk Pembinaan Dewan Sekolah
BAU: Sekolah Kebangsaan (SK) St. Stephen Bau telah menerima kelulusan geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 bagi pembinaan dewan sekolah yang akan dimulakan pada tahun 2025.
Dewan ini dijangka memberi manfaat besar kepada murid-murid dan guru-guru, menyediakan tempat berlindung daripada cuaca panas dan hujan semasa perhimpunan dan aktiviti sekolah lain.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep mengumumkan peruntukan tersebut semasa majlis Malam Setulus Budi Kasih Bersemi anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St. Stephen Bau di Dewan Suarah Bau, pada Sabtu.
Dato Henry juga menekankan pentingnya penambahan kemudahan fasiliti sekolah yang seiring dengan prestasi akademik murid, supaya pencapaian mereka dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan geran tambahan berjumlah RM5,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk PIBG SK St. Stephen Bau bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Edward Ngelai dan Yang Dipertua PIBG SK St. Stephen Bau, Blawino Sekin. –EDISI UKAS