Rock In The Jungle' 2024 Bakal Gegarkan Peminat Rock Sarawak
KUCHING: 'Rock In The Jungle' (RiTJ) 2024 bakal menggegar peminat-peminat irama 'Rock' di Sarawak yang akan berlangsung pada 28 & 29 Disember 2024 di Kampung Budaya Sarawak.
RiTJ 2024 anjuran Authentic Ideas dan Events Enterprise dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak serta Tourism Malaysia.
Konsert ini bakal menghimpunkan kugiran Rock Malaysia, Indonesia, Singapura serta bakat tempatan.
Menurut penganjur, Zawawi Buang, konsert ini bukan sahaja menghimpunkan peminat muzik rock tetapi juga mengetengahkan budaya dan keindahan negeri Sarawak kepada dunia.
Ujarnya, gabungan muzik rock dan keindahan alam semula jadi pasti akan meninggalkan kenangan luar biasa dan menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama untuk acara hiburan dan kebudayaan bertaraf antarabangsa.
Selain daripada konsert, acara ini turut menawarkan pelbagai tarikan lain antaranya gerai makanan, pameran kraf tangan tempatan serta koleksi eksklusif barangan rasmi RiTJ, yang menjadikan satu pengalaman lengkap buat pengunjung konsert itu nanti.
Acara akan bermula seawal jam 2.00 petang di mana kumpulan-kumpulan rock tempatan akan membuat persembahan di Pentas Pancaindera, di mana mereka diberikan ruang untuk mempamerkan bakat mereka untuk ditonjolkan kepada orang ramai.
Pada sebelah malamnya, konsert dua hari ini bakal menjanjikan pengalaman menarik menerusi persembahan bertenaga, lagu-lagu rock ikonik daripada kumpulan-kumpulan rock yang dibawakan khas untuk RiTJ.
Untuk hari pertama (28 Disember), kumpulan yang bakal menggegarkan pentas utama adalah JS Boy, Criss X, XPDC, Jemson dan Sweet Charity.
Manakala untuk hari kedua (29 Disember), Kumpulan BNB Band, Senseless, Candy, Edane dan Wings.
Kepada mereka yang ingin mendapatkan tiket untuk bersama-sama menyaksikan persembahan-persembahan hebat muzik rock ini, sila layari ticketmelon.com/kanzenarena/rockinthejungle ataupun boleh membeli tiket di pintu masuk ke Kampung Budaya Sarawak dengan harga RM188 seorang.-EDISI UKAS