Sinergi Agensi Kukuhkan Penyediaan Projek RTP Lebih Komprehensif Dan Berfokus
BINTULU: Penganjuran Bengkel Penyediaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) memperkukuh usaha merangka projek pembangunan luar bandar yang lebih tersusun, komprehensif dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan sebenar rakyat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, bengkel tersebut menjadi platform strategik untuk menyelaras serta mengenal pasti senarai projek RTP bagi tahun 2027 secara lebih terancang dan berfokus.
Menurut beliau, setiap projek yang dicadangkan perlu memberi impak signifikan serta manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup dan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek RTP bergantung kepada tahap komitmen, sokongan serta kerjasama erat semua agensi pelaksana yang terlibat.
Bengkel selama dua hari bermula 28 April itu diadakan di Hotel NU dan menghimpunkan seramai 45 peserta terdiri daripada agensi teknikal serta pentadbiran.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta wakil agensi berkaitan.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Penglibatan kepakaran teknikal dan pandangan strategik daripada pelbagai agensi memastikan setiap cadangan projek dinilai secara menyeluruh, merangkumi aspek kebolehlaksanaan, keutamaan serta kesesuaian dengan perancangan pembangunan semasa.
Pendekatan bersepadu ini dilihat mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek, sekali gus mengoptimumkan impak pembangunan kepada komuniti luar.
Bengkel seumpama ini wajar diteruskan sebagai platform memperkukuh koordinasi antara agensi serta mempertingkat kualiti perancangan projek RTP yang lebih tersusun, berfokus dan berimpak tinggi pada masa hadapan. — EDISI UKAS