Empat Jambatan Pulau Bruit Catat Kemajuan Memberangsangkan, Sasar Siap Lebih Awal
DARO: Projek pembinaan empat jambatan di Pulau Bruit terus menunjukkan perkembangan positif apabila pelaksanaannya kini berada pada tahap memberangsangkan dan berpotensi disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Empat struktur utama yang melibatkan Jambatan Penipah, Penuai, Betanak dan Salah Kechil dilaporkan berjalan lancar hasil pelaksanaan terancang serta penggunaan teknologi pembinaan moden.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif berasaskan keperluan rakyat setempat, khususnya dalam meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan pesisir.
Menurut beliau, kemajuan semasa projek membuktikan keberkesanan perancangan serta komitmen semua pihak terlibat dalam memastikan pelaksanaan berjalan mengikut jadual.
“Projek ini dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk Pulau Bruit dan kita melihat pelaksanaannya kini berada di landasan tepat, malah berpotensi disiapkan lebih awal,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak projek di Kampung Penipah, pada Selasa.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo memaklumkan penggunaan teknologi ultra high performance concrete (UHPC) menjadi antara faktor utama yang mempercepatkan kemajuan pembinaan.
Menurut beliau, teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan ketahanan struktur, malah membolehkan proses pembinaan dilaksanakan dengan lebih efisien berbanding kaedah konvensional.
“Penggunaan UHPC membolehkan pembinaan dilakukan dengan lebih pantas tanpa menjejaskan kualiti, sekali gus memastikan struktur jambatan lebih tahan lama,” jelasnya.
Dalam pada itu, projek berkenaan dijangka memberi impak signifikan kepada tujuh penempatan di bahagian utara Pulau Bruit yang sebelum ini berdepan cabaran akses perhubungan.
Kemudahan tersebut bakal memperkukuh mobiliti penduduk serta memudahkan aktiviti ekonomi, khususnya melibatkan sektor perikanan dan pertanian melalui jaringan pengangkutan yang lebih efisien.
Secara keseluruhannya, kemajuan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan pesisir.- EDISI UKAS