FORCA himpun 80 gerai, lonjak ekonomi dan tarikan pelancongan Bintulu
BINTULU: Bintulu Cultural & Foods Fair 2026 yang menghimpunkan kira-kira 80 gerai termasuk penyertaan peniaga dari pelbagai bahagian di Sarawak menjadi pemacu utama dalam merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai destinasi acara dan pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penglibatan peniaga dari luar seperti Miri, Sibu dan Kuching bukan sahaja memperkaya kepelbagaian makanan, malah meningkatkan kehadiran pengunjung ke bandar ini.
Menurut beliau, festival anjuran Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) itu turut membuka ruang kepada usahawan kecil untuk menjana pendapatan serta memperluaskan capaian pasaran produk mereka.
Beliau menegaskan bahawa kehadiran peniaga dari pelbagai kawasan memberi kesan langsung kepada peningkatan aktiviti ekonomi tempatan melalui pertambahan aliran pengunjung dan perbelanjaan sepanjang festival berlangsung.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan penganjuran festival tersebut sebagai lebih daripada sekadar acara jualan makanan, sebaliknya berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pengisian kebudayaan yang pelbagai.
Katanya, persembahan nyanyian dan tarian yang diadakan setiap malam bukan sahaja memeriahkan suasana, malah meningkatkan pengalaman pengunjung sekali gus memperkukuh nilai festival sebagai produk pelancongan tempatan.
Mengulas lanjut, beliau menekankan kepentingan aspek kebersihan makanan dan persekitaran, khususnya dalam keadaan cuaca panas, bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengunjung sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan berterusan terhadap penganjuran program seumpama ini yang dilihat mampu memberi impak menyeluruh, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dalam memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Bintulu. — EDISI UKAS