Lawatan Kerja Perkukuh Perkhidmatan Kesihatan Di Daro
DARO: Lawatan kerja Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib ke Hospital Daro menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar, melalui pengumpulan maklum balas secara langsung daripada komuniti setempat.
Menurutnya, pendekatan turun padang memberi ruang kepada kementerian untuk menilai keperluan semasa rakyat secara lebih dekat, di samping mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan segera.
Jelas beliau, antara fokus utama adalah memperkukuh sistem penyampaian kesihatan melalui pembangunan Klinik Kesihatan baharu yang sedang dilaksanakan bagi menyediakan perkhidmatan rawatan yang lebih menyeluruh.
“Usaha ini penting bagi memastikan setiap kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan benar-benar selari dengan keperluan rakyat serta mampu meningkatkan tahap kesejahteraan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2) di Hospital Daro, pada Selasa.
Turut hadir, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.
Dalam perkembangan sama, Dato Hanifah memaklumkan isu bekalan air bersih dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang dihadapi hospital berkenaan, sekali gus memberi kesan terhadap keperluan harian dan aspek kebersihan dalam penyediaan rawatan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan setiap fasiliti kesihatan, termasuk infrastruktur sokongan, berada dalam keadaan optimum bagi menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam masa sama dedahnya, pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 4) Daro yang kini dalam pelaksanaan dijangka siap pada Ogos 2028 dan bakal meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif.
Selain itu tambah beliau, pembinaan kuarters berkembar bagi kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dilaksanakan sebagai usaha menyokong kebajikan petugas serta memperkukuh operasi perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.- EDISI UKAS