Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Di Tanjung Embang Beri Manfaat Ekonomi
KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa yang baharu di Tanjung Embang akan memberi manfaat ekonomi secara menyeluruh kepada tiga daerah sekitarnya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penduduk di kawasan Kuching, Kota Samarahan dan Serian akan mendapat manfaat dari sudut ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang lain.
“Tanjung Embang merupakan kawasan yang bersempadan dengan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya dan saya percaya, seperti yang dikatakan oleh Premier Sarawak tadi, kesan hiliran daripada pembangunan berskala besar seperti yang disebutkan tadi, adalah lebih kurang RM100 bilion.
“Saya percaya ia akan memberi impak positif sama ada di Kuching, di Kota Samarahan mahupun di Serian, akan memberikan manfaat kepada semua.
“Pembinaan projek besar ini akan lebih memajukan lapangan terbang Kuching, pembangunan infrastruktur serta ekonomi Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Ahad.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg diiringi oleh Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan kepimpinan tertinggi Parti PBB Sarawak yang lain.
Dalam pada itu, kebimbangan masyarakat seperti lokasi yang jauh dari pusat bandaraya Kuching tidak menjadi masalah yang besar memandangkan laluan baharu ke Kota Samarahan akan siap tidak lama lagi.
Jelas Dato Sri Abdul Karim yang juga Naib Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak, pembinaan Jambatan Sejingkat ke Kota Samarahan nanti akan merapatkan jarak antara lapangan terbang tersebut ke pusat bandar.
“Saya tidak melihat lokasi itu di luar Kuching, kerana saya melihatnya terletak di hujung sempadan Bandaraya Kuching namun kawasan itu masih berada dalam kawasan hutan.
“Namun, ia sangat dekat kerana jika kita lihat pembinaan jambatan dan sebagainya, dari BCCK (Sejingkat), ia akan berada sangat hampir dengan Bandaraya Kuching,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari dalam ucapan perasmiannya memberitahu, salah satu faktor lain pemilihan Tanjung Embang sebagai lokasi pembinaan lapangan terbang ini adalah untuk memenuhi keperluan pesawat yang ingin berlepas dan membuat pendaratan dalam ruangan udara Malaysia sahaja. -EDISI UKAS