Lawatan Muhibbah PBB Saribas Perkukuh Jalinan Kerjasama Dengan Kepimpinan Mukah
MUKAH: Seramai 25 Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N35 Saribas mengadakan Lawatan Muhibbah Jalinan Mesra ke Mukah pada Sabtu sebagai usaha memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara kepimpinan parti di peringkat akar umbi.
Rombongan tersebut disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi di Pusat Khidmat N58 Balingian sebelum meneruskan program dengan sesi makan malam di MK99 Seafood Restaurant.
Menurut Abdul Yakub, lawatan berkenaan menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan parti serta membuka ruang kepada perkongsian pandangan mengenai usaha memperkasakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
"Kunjungan ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Dalam sesi tersebut, beliau turut berkongsi pelbagai agenda serta perancangan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Balingian.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berharap hubungan silaturahim yang terjalin menerusi lawatan tersebut dapat terus diperkukuhkan pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan balas ke Saribas sebagai tanda penghargaan terhadap kunjungan yang diadakan.
"Mungkin selepas ini, kami akan mengadakan lawatan ke Saribas untuk membalas kunjungan ini.
"Terima kasih kerana memilih Mukah sebagai lokasi lawatan kali ini," tambahnya.-EDISI UKAS