Sarawak Negeri Pertama Serah Dana RM1.8 Bilion Untuk Ambil Alih Pelabuhan Utama Negara
KUCHING: Sarawak mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia menyerahkan dana berjumlah RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengambil alih pengurusan Pelabuhan Bintulu yang merupakan pelabuhan utama Gas Asli Cecair (LNG) Malaysia dan antara yang terpenting di rantau ini.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata pengalaman menerima dana daripada sebuah kerajaan negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari dahulu lagi mahupun sejak menjadi Perdana Menteri.
“Ini kali pertama, saya merasa dalam mimpi kerana menerima RM1.8 bilion daripada sebuah negeri kerana tak pernah lagi menerima jadi ia memberikan keterujaan yang luar biasa kepada saya.
“Saya percaya, apabila sesebuah negeri diurus dengan baik, memahami prinsip tadbir urus yang betul serta dipimpin oleh pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa, hasilnya pasti dapat dilihat.
“Saya tabik kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan pasukannya kerana berjaya membuktikan kemampuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi
Turut hadir, Datuk Patinggi Abang Zohari dan anakandanya Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.
Menurut Dato Seri Anwar, penyerahan Pelabuhan Bintulu ini tidak mengalami kesukaran untuk dibawa kepada Jemaah Menteri kerana Sarawak kini mempunyai kapasiti, kepakaran serta sumber manusia yang mencukupi untuk mengendalikan pelabuhan utama LNG negara.
Tambahnya, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah berbincang dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum mengemukakan rang undang-undang berkaitan, yang akhirnya diluluskan.
“Kini saya bersyukur kerana salah satu petanda keyakinan, persahabatan dan perpaduan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak ialah menyerahkan pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak,” ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie