Lebih 200 Penduduk Vista Perdana Mohon Sambungan Gas Paip
MIRI: Sambutan menggalakkan terhadap kemudahan gas paip di kawasan Vista Perdana menyaksikan lebih 200 penduduk tampil mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sambungan bekalan tersebut menerusi program khas yang diadakan pada Ahad.
Perkembangan itu mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan utiliti moden dalam kalangan penduduk, selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperluas akses bekalan gas domestik menerusi Sarawak Gas di bawah PETROS.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program tersebut dianjurkan bagi memudahkan penduduk membuat permohonan secara berkelompok, sekali gus mempercepat proses penilaian dan pelaksanaan projek oleh pihak Sarawak Gas.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan penduduk mendapatkan penjelasan secara terus mengenai prosedur permohonan, pemasangan serta kos yang terlibat tanpa perlu berurusan secara individu.
Menurut beliau, jumlah permohonan yang diterima setakat ini menunjukkan tahap kesedaran dan minat yang tinggi dalam kalangan penduduk terhadap penggunaan gas paip sebagai alternatif tenaga yang lebih praktikal dan cekap.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pendaftaran Sambungan Gas Paip yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Adong, Padang Kerbau dan Pujut dengan kerjasama Pusat Khidmat Senadin serta Sarawak Gas di Vista Perdana, pada Ahad.
Dato Sri Lee berkata data permohonan yang dikumpulkan akan membantu pihak Sarawak Gas menilai tahap permintaan sebenar serta daya maju projek sebelum kerja pemasangan dilaksanakan.
Susulan sambutan positif tersebut, program sama dijangka diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Southlake dan kawasan sekitarnya yang turut menunjukkan minat terhadap kemudahan berkenaan.
Mengenai kos pemasangan, beliau menjelaskan pemohon perlu menanggung caj tetap sekitar RM1,940 yang dikenakan oleh Sarawak Gas bagi penyediaan infrastruktur bekalan, pemasangan meter dan regulator serta deposit sambungan bagi kawasan baharu.
Selain itu, pemohon turut perlu menanggung kos pemasangan dalaman yang dilaksanakan oleh kontraktor gas bertauliah yang diluluskan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut beliau, setiap pemohon akan diberikan senarai kontraktor yang diiktiraf dan bebas mendapatkan sebut harga daripada mana-mana kontraktor berdaftar sebelum membuat pilihan mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing.
Tambah beliau, penyediaan rangkaian gas paip merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan utiliti Sarawak yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui kemudahan yang lebih moden, selamat dan mampan. -EDISI UKAS