Sarawak Cadang Kerajaan Persekutuan Teliti Semula Insentif Ekonomi Baharu
KUCHING: Kerajaan Sarawak mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan meneliti semula insentif strategik yang bersesuaian bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor ekonomi baharu, khususnya industri hidrogen dan semikonduktor yang dilihat berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan landskap ekonomi global ketika ini memerlukan pendekatan dasar yang lebih progresif bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan industri masa depan.
“Disebabkan oleh peralihan ekonomi kini, mungkin Perdana Menteri boleh meneliti semula insentif yang boleh diberikan oleh kerajaan menerusi insentif yang menarik pelaburan dalam ekonomi baharu.
“Khasnya dari sudut bahan-bahan yang digunakan untuk mengeluarkan hidrogen umpamanya dan juga bahan-bahan semikonduktor yang boleh melonjakkan produk tersebut dan akhirnya menjadi satu sektor pembuatan yang saya rasa akan memberi pulangan melalui cukai kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Ahad.
Hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Seri Anwar atas kerjasama erat yang terus terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, termasuk kejayaan merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri.
Menurut beliau, kestabilan politik serta hubungan baik antara kedua-dua kerajaan menjadi asas penting dalam memperkukuh keyakinan pelabur dan mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Bintulu kini diiktiraf sebagai antara 30 kluster peralihan tenaga antarabangsa di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF), sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemain penting dalam pembangunan ekonomi berasaskan tenaga hijau dan kelestarian.
Pada masa sama, katanya, Sarawak sedang mempergiat usaha membangunkan sektor pembuatan berteknologi tinggi termasuk industri semikonduktor dan tenaga bersih bagi menyokong aspirasi Malaysia muncul sebagai rakan strategik utama di rantau ASEAN.
“Insya-Allah, kita akan memainkan peranan untuk memastikan objektif Malaysia sebagai rakan strategik penting di ASEAN dapat dicapai,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Pengerusi Penganjur Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Jabatan serta kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George S. Embie