Loji Konkrit Pratuang Terbesar Baharu Tingkatkan Keupayaan Infrastruktur Sarawak
KUCHING: Sarawak kini melangkah ke hadapan dalam sektor pembinaan dengan pelancaran loji konkrit pratuang terbesar di Sarawak ini yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur yang lebih cekap dan lestari.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, loji ini membawa pendekatan baharu kepada industri pembinaan di Sarawak, menjadikan projek-projek lebih pantas, kos efektif, dan berkualiti tinggi.
“Loji ini bukan sahaja menyokong keperluan infrastruktur yang semakin meningkat tetapi juga menetapkan standard baharu dalam teknologi konkrit pratuang, termasuk penggunaan teknologi canggih dan amalan mesra alam,” katanya semasa Majlis Pelancaran KUTS Precast Concrete Facilities dan Sambutan Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.
Loji baharu itu, yang dibangunkan oleh Urban Empire Builders (UEB) Sdn Bhd dengan kos RM20 juta dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pelaksanaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), khususnya fasa pertama laluan merah Sistem Aliran Transit Automasi (ART).
Tambah beliau, kemudahan seperti ini akan memperkukuhkan daya saing kontraktor tempatan di peringkat antarabangsa, selain menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur berkualiti untuk rakyat Sarawak.
Loji konkrit pratuang ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pejabat pengurusan projek, kuarters kakitangan, kantin, taman berlandskap, dan dewan rekreasi. Teknologi terkini yang diterapkan juga dijangka meminimumkan kesan alam sekitar sambil memenuhi keperluan projek pembinaan jambatan dan jalan bertingkat di seluruh negeri.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), Abdul Yakub Arbi, Pengarah Urban Empire Builders Sdn Bhd, Ts Mike Chin Yuan Tai, dan Pengarah Projek Sarawak Metro, Zafrin Zakariah.
Pembinaan loji ini bukan hanya menandakan satu pencapaian penting dalam projek KUTS tetapi juga membuka jalan bagi era baharu dalam pembangunan infrastruktur Sarawak yang lebih maju dan berdaya tahan.-EDISI UKAS