Program ‘Sekolahku Sihat, Stail Kita’ Perkukuh Budaya Hidup Sihat Murid Secara Interaktif
MIRI: Pelaksanaan Program ‘Sekolahku Sihat, Stail Kita’ berupaya memperkukuh pembudayaan amalan hidup sihat dalam kalangan murid sekolah menerusi pendekatan lebih segar, interaktif dan menyeluruh.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Miri (PKB Miri) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Lutong itu melibatkan penyertaan seramai 600 murid dan guru.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Ketua Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga PKB Miri, Dr Izzaty Hamidi menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan program berkenaan memerlukan kerjasama bersepadu antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan kesihatan dalam kalangan murid, malah membudayakan gaya hidup sihat secara konsisten selaras dengan aspirasi #SihatItuSaya.
“Program ini memberi ruang kepada murid untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian, sekali gus menyokong pembangunan generasi yang lebih cergas dan seimbang,” katanya semasa berucap dalam majlis peluncuran program berkenaan, di sini, pada Rabu.
Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti interaktif dilaksanakan termasuk reruai pameran kesihatan meliputi pemakanan sihat, kesihatan mental, kebersihan diri dan pendidikan sentuhan selamat.
Turut diadakan reruai kesihatan pergigian, persembahan interaktif bertemakan pemakanan sihat serta aktiviti senam aerobik bagi menggalakkan penglibatan aktif murid.
Program ini turut mengangkat enam teras utama iaitu pengoperasian kantin sihat, penyediaan makanan berkhasiat oleh pengusaha kantin, pembudayaan minum air kosong, pengambilan sayur dan buah, amalan gaya hidup aktif serta pemantauan tahap kecergasan murid melalui Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK).
Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan inisiatif pemakanan sihat, PKB Miri turut menyampaikan Kit Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) kepada pihak sekolah.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid PPD Miri Grispin Sahah serta Guru Besar SJKC Chung Hua Lutong Lai Cheo Tian. -EDISI UKAS