SSWFFB Labur USD850 Juta Aset Global, RM1.6 Bilion Bon Domestik
KUCHING: Sarawak Sovereign Wealth Future Fund Board (SSWFFB) melaksanakan langkah awal strategi pelaburannya bagi tahun 2025 dengan melabur kira-kira USD850 juta dalam aset pendapatan tetap global serta RM1.6 bilion dalam bon domestik.
Pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie berkata, perkembangan tersebut menandakan peralihan dana berkenaan daripada fasa pembinaan asas kepada fasa pelaksanaan, sekali gus mencerminkan kemajuan signifikan dalam perjalanan pelaburannya.
“Pelaburan awal ini mencerminkan prinsip panduan kami iaitu pemeliharaan modal, di samping membina portfolio yang pelbagai secara berperingkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Hari Raya SSWFFB yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.
Tambah beliau, SSWFFB turut diterima sebagai Ahli Bersekutu Forum Antarabangsa Dana Kekayaan Berdaulat, sekali gus meletakkan dana tersebut dalam rangkaian global pelabur berdaulat yang komited terhadap standard tadbir urus, ketelusan dan amalan pelaburan bertanggungjawab yang tinggi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa tahun 2026 akan menjadi fasa baharu dalam perjalanan pelaburan SSWFFB, dengan tumpuan kepada pengembangan portfolio secara berperingkat merangkumi ekuiti awam global serta pelbagai kelas aset, selaras dengan toleransi risiko dan hala tuju pelaburan jangka panjang.
Menurutnya, langkah tersebut akan dilaksanakan secara terancang dan berdisiplin bagi memastikan keseimbangan antara penjanaan pulangan jangka panjang dengan prinsip pengurusan dana yang mampan merentas generasi.
“Pada akhirnya, objektif kami kekal jelas iaitu untuk memelihara dan mengembangkan nilai jangka panjang demi manfaat generasi masa depan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus