MATU: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato' Murshid Diraja Dr Juanda Jaya bersama agensi yang lain turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa bencana banjir di Matu.
Bencana banjir di Matu menunjukkan peningkatan air secara mendadak sejak empat hari yang lalu akibat hujan lebat dan pertembungan dengan fenomena air pasang besar.
Kampung yang sudah mula dinaiki air sejak 14 hari yang lalu ialah Kg Bertong, Kg Sekaan Besar, Kg Jemoreng dan Taman Sejahtera di mana ia tidak menunjukkan sebarang penyusutan malah diketegorikan sebagai ‘banjir termenung’.
Ketika ditemui semasa tinjauan pada Jumaat itu, Dato’ Juanda Jaya berpesan kepada penduduk dikawasan agar mematuhi segala arahan pihak berkuasa terutama arahan perpindahan.
“Saya juga menasihatkan, jika keluar dari rumah, tutup tingkap, tutup lampu, tutup elektrik, pastikan keselematan rumah yang ditinggalkan itu terjaga dengan baik,” ujarnya.
Setakat ini, tiada mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) walaupun ada rumah yang telah dinaiki air, namun mereka memilih untuk berpindah ke rumah ahli keluarga berdekatan yang lebih tinggi.
Datuk Juanda Jaya juga turut menasihati penduduk di Matu atau berdekatan untuk tidak bermandi-manda di kawasan bencana banjir untuk mengelak penyakit bawaan air kotor.
“Pelbagai masalah boleh timbul apabila bermain air banjir dan saya turut menasihatkan ibu bapa jangan biarkan anak-anak turun bermain air kotor yang dibawa air banjir, sebab kita tidak mahu bencana alam akibat banjir ini datang pula penyakit berjangkit yang lain,” sambungnya lagi.
Tinjauan ini turut melibatkan beberapa agensi lain seperti Pejabat Daerah Matu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Anagkatan Pertahanan Awam (APM), PDRM, BOMBA, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Matu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi serta ketua agensi yang lain. - EDISI UKAS