GEDONG: Sebanyak 256 tangki air telah diserahkan kepada penduduk di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Jumaat.
Ia sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses air bersih yang lebih baik kepada penduduk luar bandar.
Penyerahan ini melibatkan enam kampung, iaitu Kampung Sabang, Kampung Sungai Alit, Kampung Sungai Labi, Kampung Sungai Tegelam, Kampung Tegelam dan Kampung Tanjung Tanglong.
Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi, telah menyerahkan tangki-tangki air tersebut kepada ketua kaum dan ketua masyarakat yang mewakili setiap kampung terpilih, dengan disaksikan oleh Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Inisiatif ini membawa impak positif kepada penduduk, memandangkan tangki air yang diterima akan membantu mereka menyimpan air bersih bagi keperluan harian, terutamanya bagi mereka yang menghadapi cabaran bekalan air yang tidak menentu.
Penduduk yang menerima bantuan ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas keprihatinan terhadap kesejahteraan mereka.
Penyerahan tangki air ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi kepada penduduk luar bandar, sejajar dengan komitmen memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Diharapkan sumbangan seperti ini dapat diperluaskan ke kawasan lain yang turut memerlukan, demi memastikan akses air bersih yang lebih menyeluruh di seluruh negeri. -EDISI UKAS